KOTA KINABALU: Sabah tidak berniat meruntuhkan Petronas sebaliknya mahu syarikat minyak negara itu membantu melahirkan “angsa baharu bertelur emas” milik negeri ini, iaitu SMJ Energy Sdn. Bhd.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Sabah mempunyai pegangan dan penyertaan lebih bermakna dalam industri minyak dan gas.
“Hasrat kita bukan mahu melemahkan Petronas yang dianggap angsa bertelur emas.
“Sebaliknya, Petronas perlu membantu Sabah melahirkan angsa baharu bertelur emas melalui SMJ Energy,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah Ke-28 baru-baru ini.
Menurutnya, pertemuan bersejarah antara kerajaan negeri dan Petronas pada 28 Ogos 2021 telah menjadi titik tolak kepada kerjasama lebih erat dalam industri itu.
“Buat pertama kali Petronas menerima kerangka menyeluruh aspirasi dan tuntutan negeri secara bertulis, bukan sekadar ucapan atau tuntutan lisan.
“Hasilnya, termeterai Commercial Collaboration Agreement (CCA) pada 7 Disember 2021 yang menjamin prinsip greater say, greater participation dan greater revenue sharing untuk Sabah,” jelasnya.
Armizan berkata, menerusi CCA, Sabah kini bukan sahaja berbicara soal royalti dan cukai jualan negeri, malah turut terlibat dalam pegangan ekuiti eksplorasi minyak dan gas serta peningkatan penyertaan syarikat kontraktor tempatan yang kini melebihi 1,000 syarikat.
Katanya lagi, SMJ Energy diberi mandat menyelaras strategi penyertaan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri minyak dan gas termasuk upstream, midstream dan downstream.
