KBS perlu perjelas kegagalan sekali lagi siapkan projek Kompleks Sukan Kota Marudu – Jimson

KOTA MARUDU : Selepas penangguhan demi penangguhan projek Kompleks Sukan Kota Marudu kini gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Daerah Kota Marudu Jimson Majemal menzahirkan rasa kecewa dan menuntut agar Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) memberi penjelasan kepada rakyat daerah itu tentang kegagalan menyiapkan projek tersebut selepas diberikan tempoh penangguhan.

Menurutnya kontraktor pelaksanaan projek itu telah  diberikan tempoh penangguhan sekali lagi sehingga 31 Mei lepas untuk menyiapkannya.

“Jadi sepatutnya pada 31 Mei 2025 projek ini sudah siap tapi keadaan sebaliknya yang berlaku.

“Selaku penggerak sukan di daerah ini, saya sendiri meluangkan masa untuk melihat kemajuan pelaksanaan projek Kompleks Sukan Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jimson berkata, rakyat di sini terutama penggemar sukan sudah lama menunggu berita gembira sebagai hadiah simbolik sambutan Kaamatan.

“Namun ramai yang kecewa projek itu masih gagal di siapkan, mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ini merupakan satu kegagalan besar apabila projek memberi kebaikan kepada rakyat tidak dapat diselesaikan secara bijak,“ jelas Jimson.

Menurutnya, sebelum ini, KBS telah memberi jamin akan menyiapkan projek pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu secepat mungkin.