KOTA KINABALU : Lebih 100 prasarana infrastruktur klinik kesihatan di Sabah dibina menggunakan kayu kini telah dinaik taraf kepada konkrit di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang tahun 2023 sehingga 2025 bagi menambah baik aspek kesihatan di Sabah.
“Kita berjaya menyiapkan lebih 100 klinik daif yang dibina dengan kayu kini ditukar kepada konkrit.
“Ini adalah satu perkembangan yang baik untuk negeri ini dalam aspek kesihatan di Sabah,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Maria Suleiman berkata, sokongan penuh kerajaan negeri membantu Jabatan kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk mendapat kelulusan peruntukan bagi projek naik taraf tersebut.
“Pada tahun 2023, kerajaan menyalurkan sebanyak RM10.8 juta, tahun 2024 kerajaan telah memberi RM21.5 juta dan tahun ini kita telah diberi sebanyak RM44 juta untuk membuat klinik-klinik daif ini.
“Kami berterima kasih kepada Exco Kesihatan kita kerana memberi sokongan penuh kepada JKNS dengan menyokong penuh permohonan kami ini,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, James berharap anggota kesihatan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan profesional kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.
