KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. akan melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan di seluruh Sabah susulan kekurangan kapasiti penjanaan dalam sistem grid negeri.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan keadaan itu berpunca daripada gangguan pada platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang menjejaskan bekalan gas kepada beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP).
Gangguan berkenaan menyebabkan kapasiti penjanaan elektrik dalam sistem grid Sabah berkurangan, sekali gus memerlukan pelaksanaan catuan bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di seluruh negeri.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan bersifat sementara sementara usaha memulihkan kapasiti penjanaan sedang dijalankan.
Sabah Electricity berkata pihaknya sedang berusaha meminimumkan tempoh gangguan dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna.
Maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat akan diumumkan melalui Facebook Sabah Electricity Careline atau talian Careline 15444.
