Kabinet Sabah secara dasar lulus cadangan hadkan tempoh jawatan Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat DUN Sabah akan datang sekiranya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara tersebut.

“Sebenarnya cadangan ini memang baik. Kalau kita lihat di peringkat (kerajaan) Persekutuan juga, sudah ada cadangan ini untuk mengehadkan tempoh pelantikan (jawatan) Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat pula di negara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain, mereka juga mengehadkan tempoh pelantikan Presiden dan Perdana Menteri masing-masing.

“Jadi, saya nyatakan di sini lagi, sekiranya semua (ADUN) bersetuju mengenai cadangan ini (mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal), kita akan bawa ke persidangan DUN akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang ingin tahu sama ada kerajaan Sabah bercadang untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi membolehkan had pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Abidin berkata sokongan semua wakil rakyat diperlukan untuk membawa cadangan itu ke mesyuarat DUN Sabah agar ia dapat direalisasikan.

Semua aspek perundangan berkaitan cadangan itu akan dibincangkan oleh pegawai-pegawai perundangan dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah bagi melihat setiap implikasi sekiranya Perlembagaan Negeri berkaitan tempoh jawatan ketua menteri dipinda, katanya.

— BERNAMA