ADUN-ADUN PH sampaikan sokongan kepada Hajiji berkenaan tempoh had jawatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor diatas keputusan Kabinet Negeri untuk menghadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

ADUN Api-Api Datuk Christina Liew mengetuai ADUN-ADUN PH Sabah mengadakan kunjungan kepada Hajiji di pejabat Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri hari ini untuk menyampaikan sokongan tersebut.

“Dalam kunjungan hormat PH Sabah kepada Hajiji selaku Ketua Menteri, syor menghadkan perlantikan Ketua Menteri kepada dua penggal merupakan antara agenda pembaharuan Sabah yang telah kami kemukakan kepada beliau.

“Hari ini DUN dimaklumkan bahawa Kabinet Negeri Sabah telah bersetuju secara prinsipnya berkenaan cadangan menghadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja. Pindaan perlembagaan negeri ini akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang jika mendapat sokongan daripada ADUN-ADUN.

“Justeru, saya bersama-sama dengan ADUN-ADUN PH Sabah mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri hari ini untuk menyatakan sokongan kami ke atas keputusan Kerajaan Negeri tersebut,” katanya.

Turut sama dalam kunjungan tersebut ialah Pengerusi DAP Sabah yang juga ADUN Tanjung Papat Datuk Frankie Poon, ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan ADUN Likas Tan Lee Fatt.

Terdahulu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ewon menyatakan Kabinet Negeri bersetuju menghadkan tempoh perlantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Menurut Ewon yang juga Pengarah Komunikasi PH Sabah, beliau mengemukakan soalan tersebut untuk menyusuli Agenda Pembaharuan Sabah yang telah dikemukakan oleh PH Sabah kepada Hajiji.