Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 6,843 orang daripada 2,412 keluarga dan semuanya ditempatkan di 29 PPS di lima daerah di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 6,394 mangsa daripada 2,281 keluarga malam tadi.

Menurut kenyataan itu, mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang daripada 1,731 keluarga ditempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.

“Seramai 1,201 orang daripada 453 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pitas, 720 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan dan angka ini dijangka meningkat manakala di empat daerah lain dijangka kekal,” menurut kenyataan JPBN.

Selain itu, mangsa banjir di Tawau dan Telupid yang merupakan daerah baharu terjejas bencana alam tersebut masing-masing berjumlah 109 orang dan 24 orang.

Semantara itu, seorang mangsa banjir Mohd Zinin berkata, banjir besar ini bermula pada 25 Januari lalu lebih besar dari sebelumnya.

Mohd Zinin menunjukkan jalan yang terputus akibat banjir.

Katanya, secara keseluruhan kampung di Pitas terlibat banjir iaitu hampir 200 kampung untuk di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas dan Bengkoka,

“Banyak rumah dan kereta hanyut manakala rumah roboh, kebun pisang, kelapa, getah dan kelapa sawit penduduk kampung terjejas teruk,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.

Mohd Zinin merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (WARISAN) berkata, beberapa sekolah juga ditutup berikutan keadaan banjir di seluruh kawasan ini.

“Kita juga risau mungkin bekalan makanan kepada mangsa banjir akan berkurangan berikutan kawasan mereka sukar dihubungi….Termasuk talian telepon pun sukar didapati di sini,” katanya.