KOTA KINABALU: Seramai 15,531 pelajar dilaporkan terjejas akibat banjir membabitkan tujuh daerah di seluruh Sabah.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan, berkata tujuh daerah terbabit termasuk Pitas, Beluran, Kudat, Kota Marudu, Beaufort, Sipitang dan Lahad Datu.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 49 sekolah termasuk enam sekolah menengah dipercayai terjejas akibat banjir.
“Setakat ini daerah Beluran mencatat jumlah sekolah paling banyak terjejas iaitu 18 sekolah, manakala Kota Marud iaitu 16 sekolah.
“Enam lagi sekolah terjejas akibat banjir di daerah Pitas, empat sekolah di Beaufort, masing-masing dua sekolah di Kudat dan Lahad Datu serta sebuah sekolah terjejas di Sipitang.
“Kebanyakan sekolah terjejas sama ada disebabkan kawasan sekolah dilanda banjir atau laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Abidin berkata, setakat ini beberapa sekolah terpaksa ditutup berikutan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.
“Mengikut statistik setakat ini sebanyak sembilan sekolah dijadikan PPS di daerah Pitas, Beluran, Kudat dan Kota Marudu.
“Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan SK Dandum di Pitas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Beluran; SK Sikuati dan SK Lok Yuk Sikuati di Kudat; serta SK Ranau, SK Taritipan, SMK Tandek dan SMK Bengkongan di Kota Marudu,” katanya.
Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 32 sekolah dikenal pasti turut dilanda banjir, iaitu termasuk laluan dan kawasan sekolah.