JPJ tawar insentif pembayaran kompaun kadar rata berjumlah RM150

KOTA KINABALU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menawarkan inisiatif pembayaran kompaun kadar rata atau (flat rate) sebanyak RM150 bermula 2 Januari hingga 30 Jun ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, inisiatif ini ditawarkan bagi tiga jenis kesalahan trafik tertakluk di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), po Notis 114 (Notis Temusiasat) dan Notis 115 (Notis Mengemukakan Maklumat Pemandu). 

Katanya, JPJ menggesa orang ramai menyemak saman mereka menerusi aplikasi MyJPJ dan segera membuat pembayaran bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir.

“Pembayaran boleh dibuat melalui saluran termasuk kaunter JPJ, portal awam JPJ, MySikap, kiosk JPJ, JPJ Mobile dan aplikasi MyJPJ.

“Setakat 21 Februari ini 158,121 saman sudah dijelaskan membabitkan jumlah kutipan hampir RM24 juta, iaitu RM23,750,270,” katanya di sini semalam.

Muhammad Kifli berkata, orang ramai boleh mengambil peluang melangsaikan saman tertunggak sebelum tempoh pembayaran kadar rata berakhir pada 30 Jun ini.