KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempertikaikan seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor agar rakyat terus memberi peluang kepada kerajaan negeri adalah tidak berasas sekali gus hanya bertujuan mengelirukan rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, fakta jelas menunjukkan di bawah kepimpinan Hajiji Noor dan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah tmencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan.
Katanya, antara pencapaian yang jelas adalah pada tahun lepas, Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion, termasuk projek projek besar yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Selain itu, hasil negeri juga meningkat secara signifikan, mencecah RM6.9 bilion pada tahun 2023, membuktikan kebolehan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dengan baik.
“Sektor tenaga dan infrastruktur turut mendapat perhatian serius, dengan pelaksanaan projek solar hibrid dengan kapasiti 199mw , pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas , pembinaan projek BESS ” Battery Energy Storage System” yang berkapasiti 100 mw di Lahad Datu turut dilancarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berkata, ini bagi memastikan semua tempat di negeri Sabah menerima bekalan elektrik lebih stabil.
“Usaha berterusan ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri tidak hanya sekadar menabur janji, tetapi benar-benar membawa perubahan yang ketara kepada Sabah.
“Ketua Menteri Sabah tidak merayu simpati seperti yang didakwa, sebaliknya beliau bersikap telus dan realistik dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah,” jelas Nizam.
Menurutnya, Pembangunan dan kemajuan negeri bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam satu penggal, ia memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
“Inilah yang beliau tekankan bahawa mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan segala perancangan yang telah bermula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Hakikatnya, di bawah kepimpinan Hajiji Noor, Sabah telah menunjukkan kemajuan yang ketara, dan usaha ini perlu diteruskan tanpa gangguan politik yang hanya akan merugikan rakyat,” kata Nizam.
Menurutnya, apa yang diperlukan Sabah sekarang bukan polemik tidak berasas, tetapi kestabilan dan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya.