SANDAKAN : Sandakan memfokuskan kepada kesejahteraan serta kemakmuran dari segi ekonomi bersama program berimpak positif kepada penduduknya.
Presidennya, Walter Kenson berkata, beliau melahirkan keyakinan Sandakan akan terus berkembang dan taraf sosioekonomi penduduk dapat dipertingkatkan.
Katanya, Sandakan sedang membangun sekali gus kehidupan rakyatnya semakin bertambah baik.
“Kemajuan sedang dikecapi ini adalah juga berkat kerjasama erat dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan.
“Kejayaan ini juga adalah hasil usaha berkesan oleh pemimpin yang ada di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian udalam Majlis Makan Tengah Hari Bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Dewan Serbaguna Libaran di sini semalam.
Walter menyifatkan lawatan Tun Musa ke Sandakan sebagai kehadiran sangat dinanti-nantikan oleh rakyat.
“Ini sekali gus menjadi iltizam khususnya penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemajuan dan kemakmuran daerah ini.
“Selaku Presiden MPS bersama penduduk merasa sangat bertuah kerana Sandakan menjadi lokasi kedua menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama Tun sejak dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah,” jelas Walter.
