JKNS buka siasatan dalaman insiden keretapi dan motor troli di Tenom–Pangi

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan keretapi dan motor troli berlaku pada 3 Mac lalu di KM134/4 landasan Tenom ke Pangi.

Dalam kenyataan hari ini, JKNS memaklumkan siasatan dalaman telah diaktifkan melalui Board of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.

Menurut jabatan itu, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Tenom bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Sebarang tindakan susulan akan ditentukan berdasarkan hasil laporan Board of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017,” menurut kenyataan itu.

JKNS memaklumkan insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Pada masa sama, jabatan itu menyatakan rasa kesal terhadap kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan dalaman JKNS serta siasatan pihak polis sedang giat dijalankan.