KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan besar dalam memacu pembangunan di setiap daerah serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara fokus utama kementerian adalah mempercepat tempoh kelulusan lesen dan pelan pembangunan bagi memudahkan pelaksanaan projek pembangunan.
Menurut beliau, warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) perlu terus meningkatkan prestasi kerja serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen demi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Bersama pembantu menteri, Setiausaha Tetap kementerian kita akan sentiasa memantau perkembangan serta menerima input daripada pegawai dan masyarakat di daerah bagi tujuan penambahbaikan sistem penyampaian kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata kementerian juga akan mengadakan jelajah ke seluruh daerah bagi memperkukuh kerjasama bersama majlis daerah dan majlis perbandaran.
Katanya, program tersebut turut melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melalui sesi taklimat dan pertemuan bersama rakan strategik di peringkat daerah.
Beliau berkata, program jelajah itu dijangka dilaksanakan selepas Ramadan bagi memperkukuh koordinasi antara kementerian, agensi serta pihak berkuasa tempatan di seluruh Sabah.
