Penganggur didenda RM25 muat naik komen hina

KOTA KINABALU: Seorang wanita penganggur didenda RM25 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik dan menghina seorang suri rumah melalui aplikasi WhatsApp.

Tertuduh, Luisa Luis, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Mahkamah menjatuhkan denda RM25 di bawah Seksyen 8(1)(b) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil serta mengingatkan tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya.

Luisa yang diwakili peguam Datuk Ram Singh mengaku bersalah terhadap satu daripada dua pertuduhan yang dibacakan di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menghina dan menjejaskan imej seorang suri rumah, Siti Noor Liyana Abd Latif Beldram, 37, melalui pesanan WhatsApp serta memuat naik komen jelik terhadap mangsa.

Minggu lalu pada 27 Februari, tertuduh turut didenda RM25 bagi kesalahan serupa selepas pertuduhan asal di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 8(1)(b) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Kes itu berkaitan ugutan bunuh terhadap mangsa yang sama.

Berdasarkan rekod mahkamah, pada 10 Jun 2024, Luisa pernah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas mengaku bersalah menghantar komen jelik terhadap bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan melalui Facebook.

Pada hari sama, dia turut didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan individu sama melalui mesej WhatsApp.

Selain itu, pada 28 Jun 2024, tertuduh sekali lagi didenda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan sama yang berulang.