KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Mohamed Razali Mohamed Razi menyatakan sokongan terhadap cadangan pembukaan Konsulat India di Sabah sekiranya ia benar-benar membawa manfaat kepada negeri dan negara.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat secara negatif atau dipolemikkan tanpa memahami tujuan sebenar penubuhannya.
“Kalau baik untuk negara, kenapa tidak? Kita tidak perlu melihat perkara ini secara terlalu sempit atau menganggap ia sesuatu yang membebankan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Razali, rakyat Sabah berhak diberikan penjelasan yang jelas dan menyeluruh berhubung rasional pembukaan konsulat berkenaan, termasuk dari segi kepentingan diplomatik, ekonomi dan hubungan dua hala.
“Rakyat cuma mahu tahu rasional dan justifikasi pembukaannya. Jika ia memberi kelebihan dari segi pelaburan, perdagangan atau urusan konsular, maka perkara itu perlu dijelaskan supaya tidak timbul salah faham,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbincangan secara terbuka dan telus akan membantu meredakan kebimbangan sesetengah pihak serta memastikan keputusan yang dibuat difahami dalam konteks yang lebih luas.
Dalam masa sama, Razali menyatakan keyakinan bahawa kerajaan telah meneliti semua aspek berkaitan sebelum mempertimbangkan cadangan tersebut.
“Saya percaya setiap keputusan dibuat selepas melalui penelitian sewajarnya demi kepentingan bersama, khususnya untuk Sabah,” katanya.
