KOTA KINABALU: Seramai 67 penduduk Kampung Sibaung, Pitas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan berkenaan dilanda banjir awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
Pasukan tiba pada jam 1.25 pagi dan mendapati beberapa rumah dinaiki air, menyebabkan penduduk terperangkap.
Komander Operasi, PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir berkata, pasukan bomba melaksanakan operasi pemindahan mangsa ke PPS Resthouse.
“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat. Selepas memastikan tiada lagi mangsa terjejas dan keadaan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 32 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.
Operasi itu turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan keadaan di kawasan terjejas dipantau dari semasa ke semasa.
