KOTA KINABALU: Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneruskan tradisi kebajikan dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 asnaf dalam satu majlis yang berlangsung di Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan di sini pada Sabtu.
Ketua Wanita GRS, Azizah Mohd Dun berkata, program berkenaan merupakan antara usaha berterusan pihaknya dalam memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan terus terbela, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, Ramadan bukan sekadar bulan meningkatkan ibadah, malah menjadi medan terbaik untuk memperkukuh nilai kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat.
“Kita tidak mahu ada dalam kalangan asnaf yang terpinggir, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, namun besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian tersebut.
Azizah turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tampil memainkan peranan membantu golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.
Beliau berkata, penglibatan sektor korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara berterusan mampu memberi impak lebih besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Amalan kebajikan ini perlu dijadikan budaya dan bukan hanya dilakukan secara bermusim. Tanggungjawab membantu golongan memerlukan tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Dalam majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Datuk Surinam Sadikun untuk diagihkan mewakili Parlimen Beaufort, Sipitang dan Kimanis, manakala Salmah Sait mewakili Parlimen Putatan serta Perkumpulan Perempuan Sabah.
Program berkenaan turut dihadiri kepimpinan Wanita GRS dan para penerima yang melahirkan rasa syukur atas keprihatinan yang dizahirkan.
