Jika 40 peratus Sabah terus tertangguh, rakyat akan buat keputusan – Ewon

KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, menegaskan beliau kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, sambil mengingatkan bahawa rakyat akan menilai pihak yang terus melengah-lengahkan pelaksanaan hak negeri itu.

Ewon berkata, keputusannya meletakkan jawatan daripada Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini dibuat atas prinsip, selepas tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.

Menurutnya, bukan sahaja rayuan dikemukakan terhadap keputusan mahkamah itu, malah satu lagi rayuan turut difailkan bagi menangguhkan pelaksanaannya, sebelum Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan tersebut.

“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, semalam.

Beliau berkata, pendirian UPKO dalam isu itu tidak pernah berubah walaupun proses undang-undang masih berjalan.

“Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun, dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.

Ewon berkata, rakyat Sabah wajar menilai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan, selain tindakan kerajaan Persekutuan memfailkan dua rayuan dalam isu berkenaan.

Menurutnya, sekiranya hak itu masih gagal dilaksanakan sehingga ke penghujung penggal politik semasa, maka rakyat mempunyai hak untuk menentukan kepimpinan negara.

“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” tegasnya.

Beliau berkata, UPKO sebelum ini telah membawa isu tersebut secara konsisten di pelbagai peringkat termasuk Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Kerajaan Sabah.

“Kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ewon berkata tuntutan berkaitan “lost years” perlu dibezakan daripada pelaksanaan pembayaran untuk tempoh akan datang.

Katanya, bagi tahun-tahun mendatang termasuk 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merangka mekanisme jelas bagi memastikan 40 peratus hasil Sabah dikekalkan di negeri itu.

“Perkara ini sebenarnya tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah memahami bahawa tuntutan itu berasaskan hak Perlembagaan dan bukan semata-mata soal dasar pembangunan tahunan.

Sehubungan itu, beliau berkata UPKO akan terus berdiri bersama rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri berkenaan.

“Kita akan teruskan perjuangan ini bersama rakyat Sabah untuk menuntut hak kita,” katanya.