RANAU: Dua lelaki cedera parah selepas pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori trailer di Kampung Nunuk Ragang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.37 petang itu, seorang daripada mangsa dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori trailer dan sebuah Isuzu D-Max.
“Terdapat dua mangsa di dalam kenderaan D-Max, di mana seorang mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Penginatan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang terlibat ialah pemandu D-Max berusia 78 tahun dan penumpangnya berusia 24 tahun, kedua-duanya mengalami kecederaan parah.
Sementara itu, pemandu lori berusia 43 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang turut dibantu KKM dan PDRM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.27 malam selepas keadaan disahkan selamat.
