LAHAD DATU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandung perempuannya sejak 2016 hingga 2026.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag, di Mahkamah Lahad Datu, hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, selain memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.
Keputusan itu menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh adalah 165 tahun.
Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa yang kini masing-masing berusia 25 tahun dan 22 tahun, dipaksa melakukan hubungan seks dengan tertuduh yang juga bapa kandung mereka.
Mangsa pertama dipercayai menjadi mangsa sejak berusia 15 tahun, manakala adiknya pula sejak berusia 18 tahun.
Perbuatan itu didakwa berlaku dalam tempoh kira-kira 10 tahun, bermula pada 2016 hingga 2026.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Haja Mohaideen, manakala siasatan dijalankan oleh Inspektor Malati Labpak.
Mahkamah menjatuhkan hukuman berat itu dengan mengambil kira keseriusan jenayah, selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
