Jentera UMNO dan BN Sabah perlu siap siaga hadapi PRN – Bung Moktar

KINABATANGAN: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersiap siaga lebih awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke 17 dan mengelak daripada bekerja pada saat akhir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah , Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, ini kerana tempoh kira-kira dua tahun sehingga tarikh tamat mandat PRN16 berakhir pada tahun depan bukanlah suatu jangka masa yang lama.

“Tempoh dua tahun tidak lama bagi parti politik menghadapi pilihan raya. Sebab itu kita kena bersedia sentiasa.

“Tidak mustahil PRN akan diadakan lebih awal dari tempoh tersebut dan jika pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal (tempohnya akan jadi lebih singkat) kita perlu bersiap siaga dan melakukan persediaan lebih awal,” katanya ketika berucap merasmikan program Pemukiman Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag,, baru baru ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan mahu semua ahli dan pemimpin UMNO khususnya di DUN Lamag perlu bersedia dengan strategi dan taktik untuk memenangi PRN kali ini.

“Kita perlu fokas membela rakyat, UMNO sebagai sebuah organisasi yang bersistemetik tidak menghadapi banyak masalah untuk melaksanakan gerak kerja jentera parti asal semua bersatu hati dan tahu peranan masing-masing” katanya.

Dalam perkembangan lain Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja tertinggi berkata Umno mahukan setiap bahagian Umno di negeri ini aktif dalam penggunaan media sosial yang bukan sahaja menjadi medan hebahan segala program yang dilaksanakan tetapi perlu memanfaatkan untuk menyampaikan isu berkaitan masalah rakyat dan menangkis serangan dari seteru politik terhadap pemimpin dan parti UMNO.

“Kita faham mereka menguasai media sosiall dalam talian kerana adanya bayaran kepada yang mengendalikannya, tapi kita jangan biarkan tanpa menangkis segala tohmahan dan fitnah yang akhirnya akan menjadi presepsi negatif kepada rakyat sebagai pembaca” kata Bung Moktar.