LABUAN: Mayat seorang wanita yang berpakaian lengkap ditemukan di pantai Kiansam oleh orang awam, semalam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa 58 tahun dijumpai oleh orang awam sekitar jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, polis kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mangsa tinggal di kawasan perumahan Skim Penempatan Sementara Pelarian (SPMP) Kiansam.
“Siasatan awal mendapati tidak mempunyai sebarang unsur jenayah terhadap mangsa.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian supaya tampil membantu siasatan.