Lapangan Terbang Tawau terima penerbangan carter pertama dari Nanjing China

TAWAU : Tawau menerima penerbangan sewa khas (carter) sulung bersejarah dari Nanjing (NKG), China semalam menandakan satu kejayaan bagi Lapangan Terbang Tawau, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau berkata Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan bangganya mengumumkan permulaan penerbangan sewa yang menghubungkan Nanjing, China ke Tawau, Sabah oleh Firefly Airlines, dan Tourism Malaysia (TM) turut memainkan peranan dalam pembangunan laluan penerbangan baharu ini.

Lapangan Terbang Tawau terima penerbangan carter pertama dari Nanjing China

Menurut Liew, penerbangan carter ini, penerbangan antarabangsa pertama untuk Lapangan Terbang Tawau membawa masuk 157 penumpang pada ketibaan pertama pada 5.55 pagi.

Beliau berkata Firefly akan mengendalikan penerbangan carter ini tiga kali seminggu, yang dijadualkan tiba di Tawau setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, dengan kapasiti 540 tempat duduk seminggu sehingga akhir Mac.

“Kami sangat mengalu-alukan rakan-rakan China kami dan berharap dapat mempamerkan khazanah budaya dan semula jadi Sabah yang unik.

“Pelancaran penerbangan terus dari Nanjing ke Tawau adalah bukti daya tarikan wilayah kita yang semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan. Saya teruja laluan baharu ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan Tawau sebagai destinasi antarabangsa yang terkemuka.

“Pada masa ini, Sabah menerima 42 penerbangan berjadual mingguan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou dan Wuhan ke Kota Kinabalu dengan kapasiti 7,520 tempat duduk seminggu,” kata Liew menerusi satu kenyataan.

Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Ken Pan mewakili Menteri pada majlis sambutan itu.

Turut hadir Pengurus Kanan Pemasaran STB Humphrey Ginibun yang mewakili Lembaga Pengarah.