SEDCO salur 10 peratus keuntungan tahunan perkasa usahawan Sabah

KOTA KINABALU: SEDCO memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi melaksanakan RISE dan S-SEED untuk memperkukuh pembangunan usahawan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, RISE menyediakan bimbingan perniagaan manakala S-SEED memberi tumpuan kepada pembiayaan keusahawanan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata kedua-dua program itu dirangka untuk membantu usahawan meningkatkan daya tahan dan mengembangkan perniagaan.

Ewon berkata kerajaan negeri turut menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah dan membangunkan polisi sokongan khas bagi SME tempatan yang mahu mengembangkan operasi di taman perindustrian.

Katanya, pelaksanaan polisi itu akan bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), selain program latihan keusahawanan akan diteliti supaya lebih sesuai dengan cabaran semasa.

Beliau berharap 30 peserta RISE dan S-SEED mampu menghasilkan produk untuk pasaran dunia serta mendapatkan pensijilan halal dan pendaftaran dengan DIDR serta MATRADE.

Menurut Ewon, sektor PMKS menyumbang 39.7% atau RM689.8 bilion kepada KDNK negara pada 2025 selain menggaji kira-kira lapan juta pekerja, dengan usahawan Sabah turut menyumbang kepada prestasi sektor itu.