Jenazah Bekas Ahli Parlimen Silam selamat dikebumikan

LAHAD DATU : Jenazah Bekas Ahli Parlimen Silam, Datuk Salleh Kalbi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam di Kampung Terusan, di sini hari ini.

Allahyarham disolatkan di Masjid Firdaus Kampung Sapagaya, selepas solat Zohor tadi selepas meninggal dunia di Hospital Lahad Datu jam 4.40 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru pada usia 61 tahun.

Menurut isterinya, Datin Fatmah Abdul Aziz, Allahyarham telah menjalani rawatan di hospital lebih dua minggu.

Allahyarham merupakan wakil rakyat Barisan Nasional Parlimen Silam (kini Parlimen Lahad Datu) pada tahun 2008 hingga 2013.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua orang anak perempuan, Amirah Mahfuzah Syopieah dan Amera Elezadiba Syalesiah.

Sepanjang kariernya, Allahyarham terkenal dengan sifat rendah diri serta mudah didekati rakyat malah sehingga sebelum akhir hayat beliau masih meneruskan perjuangan membela rakyat di Lahad Datu melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR).