JBPM bakal terima 150 buah Compact Fire Resque Tender (CFRT)

LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperolehi sebanyak 150 buah jentera jenis Compact Fire Resque Tender (CFRT) membabitkan peruntukan RM145 juta.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Haji Mat Yassin berkata, ketika ini pihaknya sedang menantikan proses perolehan bagi mendapatkan jentera tersebut.

“Kita menjangkakan kenderaan CFRT yang dilengkapi dengan aksesori dan set kelengkapan yang serba canggih akan dapat dibekalkan secara berperingkat peringkat ke setiap negeri yang memerlukan termasuk Labuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2022, di salah sebuah hotel di sini, semalan.

Abdul Wahab berkata, kenderaan CFRT itu akan diberi keutamaan kepada balai-balai bomba daerah termasuk yang terletak di kawasan terpencil.

Katanya ia sebagai usaha merapatkan jurang kritikal dalam infrastruktur tindak balas kecemasan selain dapat mengurangkan masa respon bagi sesuatu kejadian kebakaran.

“Keupayaan ini sudah pasti menjadi ejen perubahan dalam melindungi komuniti dan mengurangkan resiko berkaitan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, katanya, JBPM juga sedang merancang untuk menaik taraf Balai Bomba Rancha-Rancha Wilayah Persekutuan Labuan daripada kategori C kepada kategori D berikutan kedudukan balai bomba berkenaan berdekatan dengan zon industri minyak dan gas.

“JBPM juga sedang berusaha untuk memasukkan cadangan pembinaan kuaters kakitangan khususnya untuk kakitangan JBPM Labuan yang ketika ini tidak mencukupi…kita mempunyai tanah untuk pembinaan bangunan kuaters itu.

“Setakat ini kita hanya ada kuaters Balai Bomba Labuan yang memuatkan 38 unit rumah…iaitu jauh lebih rendah dengan keperluan iaitu 150 unit,” katanya.

Pada majlis itu seramai 16 anggota bomba pelbagai pangkat menerima Anugerah Pingat Jasa Perkhidmatan Bomba, 18 anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 dan 27 anggota yang lain turut menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labua, Abdul Rahman Ali.