Jawatakuasa Khas MA63 bincang penurunan kuasa autonomi pendidikan kepada Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 1 April (Bernama) — Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan membincangkan mengenai penurunan kuasa autonomi dalam bidang pendidikan kepada Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata kuasa autonomi itu, akan lebih memudahkan kedua-dua negeri berkenaan melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan, seperti yang diharapkan oleh rakyat di Sabah mahupun Sarawak.

“Ia adalah perkara baharu disenaraikan dalam jawatankuasa MA63 dan saya akan dipanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dalam jawatankuasa itu…saya akan memberi input secara terperinci kepada beliau apa-apa perkara yang perlu diperincikan.

“Kita minta biarlah Sabah dan Sarawak yang menentukan dari segi pelaksanaan projek-projek pendidikan, pelantikan perjawatan yang sering dibangkitkan, tetapi kita juga berlandaskan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, apabila dimuktamadkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan pentadbiran, dewan serbaguna dan auditorium fasa kedua Institut Perguruan Guru (IPG), Kampus Gaya di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata projek pembinaan bangunan bernilai lebih RM60 juta itu mula dibina pada 2019 dan berjaya disiapkan pada 25 Jan lalu, bagi menggantikan bangunan lama yang uzur dari segi struktur dan telah berusia 59 tahun.