Jangan terpedaya hasutan pembangkang menjelang PRN Sabah – Joachim 

PENAMPANG : Parti Bersatu Sabah (PBS) mengingatkan kepada semua ahlinya agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang disifatkannya sebagai cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan parti.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pihaknya juga menafikan dakwaan kononnya beliau dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan tidak dijemput ke acara anjuran Pertubuhan Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) baru-baru ini.

Katanya, beliau menghantar wakil ke acara itu berikutan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS di Beaufort. 

“Bagaimana boleh dikatakan PBS tidak menyokong Ketua Menteri sedangkan ramai pemimpin dan wakil PBS turut hadir di sana?.

“PBS kekal teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan menyeru semua ahli parti agar terus fokus dalam memperjuangkan agenda PBS,” katanya di sini semalam.

Joachim mengingatkan kepada semua ahli parti agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan pihak lawan. 

“Stay focus… Perjuangan PBS masih jauh dan kita masih relevan.

“Kerajaan negeri hari ini adalah hasil kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus,” jelas Joachim.

Beliau mengimbas kembali peristiwa dua tahun lalu apabila PH memberi sokongan kepada Hajiji bagi mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri.

“GRS tidak akan lupa jasa PH yang menyokong Ketua Menteri ketika ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan beliau. 

“Pihak lawan akan guna apa cara sekalipun untuk memecahbelahkan kita. Maka, kita harus kekal bersatu,” katanya.