KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan sebagai teras utama memberi penekanan khusus kepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi adalah pelaburan jangka panjang.
Katanya, ini penting untuk memastikan generasi muda Sabah mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sabah memerlukan tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran industri masa kini.
“Sebab itu, Kerajaan Negeri memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan latihan kemahiran melalui pelbagai inisiatif,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Hajiji merakamkan penghargaan kepada PETRONAS kerana terus komited membangunkan modal insan di Sabah menerusi pelbagai program pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti.
“Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 memberikan penekanan yang serius terhadap pembangunan modal insan.
“Saya yakin dengan melabur dalam pendidikan dan pembangunan belia Sabah, PETRONAS turut membantu negeri ini membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif,” jelas Hajiji.
Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.33 bilion untuk membangunkan modal insan, termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran.
“Kita tidak mahu hanya membina bangunan dan infrastruktur, tetapi yang lebih penting adalah membina kapasiti dan kualiti rakyat Sabah itu sendiri,” katanya.
