KINABATANGAN : Rakyat diingatkan agar tidak merosakkan perpaduan hanya kerana berbeza pandangan, ideologi serta fahaman politik.
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dalam hubungan ini seharunyanya pemimpin politik menjadi teladan dalam memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan.
Katanya, semua masyarakat termasuk pemimpin politik perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan menyentuh sensitiviti agama bangsa dan kaum sehingga menimbulkan kebencian.
“Apa yang mengecewakan sejak akhir ini timbul kembali suara sumbang dari beberapa invididu pemimpin politik secara terbuka atau memuat naik di media sosial.
“Ini akan meniupkan api kebencian dengan membawa pelbagai sentimen antaranya ‘Anti Parti Malaya’ serta menghalang parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia untuk bertanding dalam PRN di Sabah boleh mencetuskan semangat kebencian dan menjejaskan tahap perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini,” katanya di sini semalam.
Bung Moktar merupakan Ketua UMNO Sabah berkata, sebagai seorang pemimpin yang ingin bersama-sama membina negara bangsa ini sepatutnya mereka menjadi ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej-mesej kebersamaan.
“Kita sebuah negara demokrasi, maka tidak timbul isu tempatan atau parti Semenanjung. Maka seharusnya tidak ada kenyataan dikeluarkan yang menyinggung perasaan walaupun parti itu berhajat semula untuk mentadbir negeri ini.
“Bukan sahaja UMNO malah ada parti-parti lain berpangkalan di semenanjung sudah bertapak di Sabah malah menjadi sebahagian dari kerajaan hari ini,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, kemerdekaan negara kini sudah sudah mencapai 67 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai resam hidup seharian.