Jamawi sambut SUT baharu, tekankan kepimpinan turun padang

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyambut baik pelantikan Setiausaha Tetap (SUT) baharu kementeriannya, Datuk Jumain Abdullah Ghani yang melapor diri di pejabatnya pada Jumaat.

Beliau berkata, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh pentadbiran kementerian sekiranya mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada seluruh warga jabatan serta agensi di bawahnya.

Menurut Jamawi, kementerian yang diterajuinya merangkumi empat jabatan dan lima agensi, sekali gus memerlukan koordinasi mantap serta semangat kerja berpasukan yang tinggi bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya berharap semua jabatan dan agensi memberi komitmen sepenuhnya kepada SUT baharu demi kelancaran pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan kepimpinan turun padang bagi mengenal pasti isu sebenar di lapangan.

“Apabila kita berada di lapangan, lebih banyak perkara boleh diselesaikan berdasarkan keadaan sebenar,” ujarnya.

Jumain, 53, secara rasmi menggantikan Leonard Stephen Stephen Poyong yang akan bertugas di Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN).

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam termasuk pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Tambunan dan Ranau serta Penolong Pegawai Daerah di Telupid. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Sementara itu, Jumain merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan dan menyifatkan tanggungjawab baharu itu sebagai satu amanah besar.

“Saya sedar tanggungjawab ini amat besar dan akan berusaha sedaya upaya merealisasikan misi serta visi kementerian. Bukan mudah, tetapi tiada yang mustahil,” katanya.