Dua dicekup simpan syabu

SEMPORNA: Dua lelaki termasuk seorang warga asing dicekup dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiap Wah berkata, suspek pertama berusia 20 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Jeti Umum.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki syabu seberat 5.85 gram disimpan dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam operasi berasingan di Kampung Sejati Satu, lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan selepas polis menemui 0.15 gram syabu dalam genggamannya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tan berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi membanteras dadah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan itu.