PUTATAN: Kepelbagaian juadah makanan dan minuman yang ditawarkan di bazar Ramadan sekitar daerah ini terus menarik kehadiran orang ramai sepanjang bulan Ramadan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kemeriahan bazar bukan sahaja memberi pilihan pelbagai kepada pengunjung, malah membantu merancakkan ekonomi peniaga tempatan.
Menurutnya, Putatan kini dilihat sebagai antara lokasi bazar Ramadan yang menjadi tumpuan di Sabah setiap kali menjelang waktu berbuka puasa.
“Dengan adanya bazar-bazar di Putatan, ia secara berterusan menjadi lokasi wajib dikunjungi mereka yang ingin mendapatkan juadah berbuka.
“Namun, saya ingin mengingatkan para peniaga supaya sentiasa menjaga kualiti makanan dan minuman yang dijual serta memastikan harga yang ditawarkan adalah munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan Peladang dan Bazar Ramadan Legend Golden Centre, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berharap keunikan dan kepelbagaian juadah yang ditawarkan mampu mengekalkan Putatan sebagai destinasi pilihan pengunjung, selain membuka peluang kepada peniaga menambah pendapatan sepanjang Ramadan.
