KOTA KINABALU: Seramai 112 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sepanjang Januari hingga Februari tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua tahanan terbabit telah melalui proses perundangan sebelum dokumen perjalanan mereka disahkan oleh kedutaan masing-masing.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 90 orang adalah lelaki dewasa manakala 22 lagi wanita dewasa.
“Berdasarkan pecahan warganegara, Pakistan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 51 peratus, diikuti Filipina (29 peratus), Vietnam (9 peratus), China (5 peratus) dan Thailand (3 peratus).
“Baki satu peratus masing-masing melibatkan warganegara Laos, Amerika Syarikat dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan, operasi pemindahan tersebut merupakan tindakan berterusan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang imigresen dilaksanakan secara telus dan teratur di negeri ini.
Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi jabatan berkenaan.
