3,455 KIR Islam di Membakut terima Bingkisan Ramadan

MEMBAKUT: Seramai 3,455 Ketua Isi Rumah (KIR) Islam di sekitar kawasan ini menerima Bingkisan Ramadan yang diagihkan sempena bulan Ramadan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan beliau bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang bulan puasa.

Menurutnya, agihan itu diselaraskan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut serta Mahkamah Anak Negeri (MAN).

“Setiap bingkisan mengandungi kurma, barangan makanan asas, sejadah dan jadual waktu berbuka puasa.

“Kita agihkan setiap tahun dan semua rumah akan menikmati walaupun sedikit,” katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat memberi manfaat serta menceriakan sambutan Ramadan dalam kalangan penerima di kawasan tersebut.