KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysiakini (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan desakan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan sebagai tidak wajar dan bermotif politik.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata tindakan Albert Tei menggesa Azam berundur menimbulkan persoalan moral, memandangkan individu itu sebelum ini pernah berdepan pertuduhan berkaitan rasuah bersama beberapa pihak lain.
Zulkarnain berkata isu integriti dan tadbir urus institusi negara perlu ditangani secara berhemah serta berlandaskan prinsip undang-undang, bukannya melalui pendekatan yang boleh mencetuskan polemik berpanjangan.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran Albert dijemput sebagai penceramah dalam satu perhimpunan yang menyentuh soal integriti.
“Pemilihan penceramah mencerminkan kredibiliti dan kesungguhan sesuatu program. Ia mengundang tanda tanya terhadap mesej serta matlamat sebenar penganjuran,” katanya.
Menurutnya, laporan media sebelum ini ada menyentuh isu lesen mineral di Sabah yang didakwa mempunyai kaitan dengan Albert, termasuk kelulusan lebih 10 lesen kepada syarikat yang dikaitkan dengannya.
“Perkara ini melibatkan sumber negeri dan saya telah membuat laporan polis serta aduan kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus,” katanya.
Zulkarnain turut menyentuh mengenai kenyataan awam dalam satu sesi podcast berkaitan dakwaan pemberian wang kepada wakil rakyat yang kemudiannya dinafikan dalam prosiding mahkamah.
Katanya, perbezaan antara kenyataan terdahulu dan pendirian di mahkamah boleh menimbulkan persoalan mengenai konsistensi fakta.
Beliau berpandangan individu yang masih berdepan pertuduhan atau dakwaan sedemikian wajar memberi ruang kepada proses perundangan berjalan tanpa memberi tekanan terhadap institusi penguat kuasa.
“Sebarang dakwaan salah laku perlu ditentukan melalui siasatan menyeluruh serta proses perundangan yang bebas dan adil.
“Perjuangan menegakkan integriti tidak boleh bersifat terpilih atau dijadikan medium memulihkan reputasi peribadi,” katanya.
Beliau berkata kestabilan institusi negara perlu dipelihara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.
Zulkarnain menambah kenyataannya itu dibuat berdasarkan laporan media dan rekod awam yang pernah diterbitkan sebelum ini, sambil menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang sedia ada.
