Jamawi gesa warga kementerian terus perkukuh sektor agromakanan Sabah

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah diseru terus bekerja keras dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negeri.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, komitmen berterusan semua peringkat jabatan dan agensi penting bagi memastikan perancangan yang dirangka dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di Wisma Pertanian.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai setakat ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kementerian termasuk ketua jabatan dan agensi berkaitan.

Jamawi turut menegaskan pelaksanaan program perlu memberi impak sebenar kepada golongan sasar seperti petani, nelayan dan penternak.