KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan terperinci berhubung pelarasan sempadan Malaysia–Indonesia yang melibatkan Pulau Sebatik.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, isu tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah selepas laporan menyatakan kawasan seluas 127.3 hektar kini berada dalam wilayah Indonesia.
Menurutnya, Malaysia dilaporkan hanya menerima sekitar 4.9 hektar sebagai pertukaran, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keseimbangan hasil rundingan.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan asas keputusan, garis sempadan baharu, penglibatan kerajaan negeri serta implikasi terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebarang rundingan melibatkan sempadan negara mesti dilaksanakan secara telus dan mengutamakan kepentingan nasional,” katanya.
