KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyifatkan Pesta Kaamatan sebagai simbol perpaduan, kesyukuran dan keharmonian yang perlu terus dipelihara oleh seluruh rakyat Sabah.
Beliau berkata, perayaan yang berakar daripada tradisi masyarakat tani itu kini berkembang menjadi platform penyatuan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang di negeri ini.
Menurutnya, kepelbagaian etnik dan budaya yang wujud di Sabah merupakan aset paling berharga yang perlu terus dipertahankan.
“Semangat kebersamaan dan persefahaman yang dinikmati selama ini perlu terus dipupuk demi memastikan Sabah kekal aman, maju dan makmur,” katanya dalam perutusan Kaamatan 2026.
Beliau turut mengingatkan pentingnya memelihara bahasa, adat resam, seni dan budaya masyarakat pribumi sebagai warisan yang menjadi identiti negeri Sabah.
