SANDAKAN: Tiga lelaki dicekup dalam Ops Tapis dijalankan polis di Kampung Sibugal Besar, Batu 10, di sini, Rabu lalu.
Dalam operasi itu, dua suspek ditahan kerana memiliki dadah disyaki syabu, manakala seorang lagi ditahan kerana disyaki menagih.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, semua suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) untuk ujian saringan awal air kencing.
“Hasil ujian mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
