KUDAT: Lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gumpa, di sini, pagi tadi, mengakibatkan seorang lelaki melecur.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.38 pagi itu, lima rumah separuh kekal musnah 90 peratus, dua rumah tidak kekal terbakar sepenuhnya, manakala sebuah rumah kekal hanya rosak 10 peratus.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Proton Satria dan dua motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, PPgB Darikson Galanang berkata, seorang lelaki berusia 46 tahun melecur di bahagian bahu belakang dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Seramai 25 anggota bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran menggunakan dua aliran tiga pancutan,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.47 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang.
