LABUAN : Seramai 15 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Labuan dalam operasi penguatkuasaan ‘Ops Sapu’ di beberapa lokasi disyaki penempatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Labuan Mohd Shufandy Mohd Hashim berkata, operasi sekitar pukul 1.15 pagi hingga 3.30 pagi itu, sejumlah 53 orang telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, 15 individu warga Filipina berumur lingkungan 1 hingga 77 tahun terdiri tiga lelaki, enam perempuan, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditahan.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.
Mohd Shufandy berkata, ihalnya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
“Ini termasuk Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), termasuk mereka yang menggaji atau melindungi PATI,” jelas Mohd Shufandy.