KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM155 juta pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sasaran itu termasuk zakat penggajian menyumbang sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan zakat.
“Untuk makluman, insyaAllah kita target kutipan zakat pada tahun ini RM155 juta.
“Antara penyumbang yang ramai ialah zakat penggajian lebih kurang 40 peratus, kemudian zakat perniagaan,” katanya di sini semalam.
Mohd Arifin berkata, beliau mengalu-alukan mana-mana syarikat atau GLC untuk terus menunaikan zakat.
“Setakat semalam, MUIS mencatatkan jumlah kutipan zakat RM 58,263,703.96 berbanding jumlah agihan RM 63,712,668.71.
“Zakat penggajian menyumbang 51.43 peratus iaitu RM29,962,478.35, diikuti zakat perniagaan dengan sumbangan 17.91 peratus (RM10,437,740.93), zakat pendapatan dengan 8.1 peratus (RM4,719,458.40) dan zakat simpanan 6.4 peratus (RM3,726,641.83),” jelas Mohd Arifin.
Menurutnya, zakat emas, perak, saham, pertanian serta ternakan masing-masing menyumbang di bawah dua peratus.