Imigresen Sabah Hantar 769 PATI Filipina Balik Ke Negara Asal

KOTA KINABALU Seramai 769 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar balik ke negara asal, selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan seramai 438 lelaki, 140 wanita dan 191 kanak-kanak.

Katanya, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen Sandakan, Papar dan Tawau sebelum dipindahkan menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia terus ke Zamboanga, Filipina.

“Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing.

“Sehingga ke hari ini, seramai 4,762 orang warganegara Filipina telah balik ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Sitti Saleha berkata, penghantaran itu menjadikan jumlah keseluruhan PATI di bawah program pemindahan tahanan asing ke negara asal di Negeri Sabah mencecah seramai 5,620 orang.

“Mereka turut mempunyai Travel Documents (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah usaha Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Negeri Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang,” jelas Sitti Saleha.