Salleh: Perjuangan Hak Sabah Milik Semua Rakyat, Bukan Hak Mutlak Parti Tempatan

LAHAD DATU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa perjuangan hak Sabah bukanlah milik eksklusif mana-mana parti tempatan, tetapi adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Sabah yang mahu melihat masa depan negeri ini terbela.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat-Mesyuarat Cawangan Berkelompok UMNO Bahagian Lahad Datu pagi ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Sharif Musa serta barisan kepimpinan bahagian.

“Sering kali timbul anggapan seolah-olah hanya parti tempatan yang layak bercakap soal hak Sabah. Sebenarnya, perjuangan ini adalah milik semua rakyat Sabah — bukan hak mutlak mana-mana parti,” ujar Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa sama ada parti tempatan atau nasional, kedua-duanya hanyalah wadah. Yang penting ialah keikhlasan dan kemampuan pemimpin membawa suara Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Memang ada parti seperti WARISAN, PBS, STAR dan PGRS yang fokus pada isu negeri. Tetapi kita jangan lupa, parti seperti UPKO dan PBRS juga merupakan parti tempatan yang memilih untuk menyertai gabungan nasional demi menjamin suara Sabah lebih didengari di peringkat pusat,” katanya.

Salleh turut menekankan bahawa isu MA63, hasil negeri dan autonomi kini bukan lagi perbincangan pinggiran. Ia telah diangkat ke peringkat Persekutuan — dimasukkan dalam Perlembagaan, dibincang dalam kabinet, dan dijadikan agenda bersama oleh kerajaan perpaduan.

Beliau turut merujuk kepada pengalaman Indonesia, di mana parti nasional seperti PDIP dan Golkar berjaya memperjuangkan autonomi khas wilayah seperti Aceh dan Papua melalui saluran nasional.

“Apa yang rakyat Sabah mahukan hari ini bukan soal siapa lebih ‘Sabah’ atau lebih ‘tempatan’. Yang penting ialah siapa yang benar-benar ikhlas, stabil dan mampu melaksanakan janji,” katanya lagi.

Salleh dalam ucapannya turut menyeru ahli UMNO agar terus bekerja keras memperkukuh parti di peringkat akar umbi, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO.