KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik rancangan institusi pengajian tinggi terkemuka India, Indian Institute of Technology Madras (IITM) untuk meluaskan sayapnya ke Sabah.
Katanya, negeri ini melalui Yayasan Kolej Universiti Sabah (UCSF) juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menjalin kerjasama akademik dengan IITM.
Beliau menyatakan perkara ini semasa bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Global IITM Dr Thirumalai Madhavnarayan dan Dekan Global IITM Prof Raghunathan Remgaswamy.
Kunjungan disertai Pengerusi Petra Group dan Yayasan Sekhar Datuk Seri Dr Vinod Sekhar di Menara Kinabalu, di sini.
Semasa pertemuan terbabit, Hajiji diberi taklimat berkenaan IITM yang sedang meneroka kemungkinan untuk menubuhkan kampus Asia pertamanya di luar India di Sabah.
Langkah ini sebahagian daripada pelan strategik IITM untuk membangunkan ekosistem inovasi global, dengan Malaysia dikenalpasti sebagai langkah awalnya ke Asia selepas kejayaan kampus antarabangsa pertamanya Zanzibar, Afrika, yang dilancarkan dua tahun lalu.