KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memantau penjualan gula-gula ‘gummy eye ball’ selepas larangan dijual di semua platform dalam talian dan pasaran domestik di negara ini.
Pengarahnya, Dr. Maria Suleiman berkata, ketika ini tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk boleh dibuat berdasarkan peraturan sedia ada.
Katanya, siasatan mendapati produk itu menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
“Kita sahkan tiada kes seumpama itu dilaporkan berlaku di Sabah, namun JKNS tetap menjalankan pemantauan.
“Ini berdasarkan produk itu dapati menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983,” katanya.
Maria berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati melanggar peraturan makanan.
“Ini termasuk dalam aspek pembungkusan, saiz dan jenis makanan didapati mengundang risiko keselamatan kepada pengguna di Sabah.
“Di Sabah, kawal selia keselamatan makanan tertakluk di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” jelas Maria.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Maria berkata, tujuan kunjungan kepada kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman mengeratkan hubungan kerjasama antara JKNS bersama kerajaan negeri.