Hajiji umum mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat, di sini hari ini.

Hajiji merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan parti itu digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini.

“Selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Sabah,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, Gagasan Sabah adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.

“Saya berasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan,” katanya.

Hajiji yakin dengan sokongan rakyat kerana berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah sekali gus mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini.