KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyertai masyarakat India menyambut Deepavali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Setibanya Ketua Menteri disambut oleh Presiden Dewan Perniagaan India Sabah Datuk V. Jothi dan orang kenamaan lain.
Kemudian, Jothi turut menemani Hajiji menyalakan kuthu vilakku (lampu tembaga) sempena Deepavali.
Majlis Ramah Mesra Deepavali yang dihadiri lebih 1,000 orang itu dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan India Sabah.
Dalam sambutan itu, dua keping cek bernilai RM3,000 setiap satu telah disampaikan kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home Tuaran daripada Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan India Sabah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif.