Leela Devi sebati suasana sederhana sambutan Hari Deepavali di Sandakan

SANDAKAN : Lebih 30 tahun menetap di Sandakan atas tuntutan kerja, Leela Devi Nadesan, 64, seakan sudah sebati dengan suasana sederhana sambutan Hari Deepavali di daerah ini.

Malah, pesara guru yang berasal dari Ipoh, Perak itu berasa lebih tenang dan seronok merayakan pesta cahaya bersama kelompok kecil masyarakat India yang datang ke Kuil Sri Sithi Vinayagar Sandakan.

Leela Devi sebati suasana sederhana sambutan Hari Deepavali di Sandakan.

“Saya sudah bersara tetapi masih berada di Sandakan kerana anak bekerja di sini. Dan, seperti tahun-tahun sebelumnya, saya merayakan Hari Deepavali di sini dengan penuh kesyukuran dan secara sederhana.

“Di kampung memang lebih mesra dan meriah kerana ramai saudara-mara, tetapi di sini, saya dapat rasa satu ketenangan apabila datang ke kuil setiap kali sambutan Deepavali. Hati saya rasa seronok sekali.

“Biarpun komuniti India adalah minoriti di sini, tetapi tiada masalah dan saya tidak ada rasa wujudnya jurang perbezaan antara kami. Saya seronok tinggal di sini bersama masyarakat berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Beliau datang menyempurnakan upacara sembahyang di Kuil Sri Sithi Vinayagar bersama ibunya, Balamani Karuppiah Pillay, 84, yang juga cukup teruja meraikan pesta cahaya bersama komuniti India Sandakan.

Leela Devi sebelum ini pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan, Sandakan selama 14 tahun dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Syn Hua, Sandakan selama 13 tahun sebelum bersara pada tahun 2019.

Sementara itu, Setiausaha Kuil Sri Sithi Vinayagar Sandakan, Rathivarman Subramaniam memberitahu hanya terdapat kira-kira 500 orang India di daerah ini dengan kebanyakan mereka berasal dari Semenanjung seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

“Sebagai kaum ketiga terbesar di Semenanjung, sudah tentu Deepavali disambut lebih meriah di sana. Kebanyakan komuniti India di Sandakan pun berasal dari Semenanjung dan menetap di sini kerana bertugas sebagai guru, polis, tentera dan kakitangan kesihatan selain bekerja dalam bidang perladangan.

“Dari situ, kita boleh nampak penghijrahan masyarakat India dari Semenanjung ke Sabah dan ini merupakan satu trend yang positif. Saya percaya melalui dasar kerajaan yang begitu efektif ini akan menyumbang kepada peningkatan populasi masyarakat India di Sabah pada masa akan datang.

“Oleh itu, wajarlah bagi kami untuk mempunyai pusat ibadat seperti kuil ini agar kami tidaklah rasa terasing daripada masyarakat India yang berada di Semenanjung,” jelasnya.

Menurut Rathivarman, terdapat empat kuil Hindu didirikan di seluruh Sabah dengan dua daripadanya di Kota Kinabalu dan sebuah kuil masing-masing di Sandakan dan Tawau.

Beliau berkata, sebuah kuil lagi akan didirikan di Lahad Datu tidak lama lagi yang ketika ini masih dalam peringkat pendaftaran dan proses penubuhan.